KUCHING: Timbalan Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saro pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) baru-baru ini.
Kejayaan beliau menewaskan dua pencabarnya dengan majoriti besar iaitu sebanyak 5,636 undi sekali gus menyaksikan Awang Tengah kekal sebagai wakil rakyat di kawasan itu sejak penggal pertama pada 1987.
Sementara itu, kedua-kedua pencabarnya berputih mata setelah kehilangan deposit apabila Alias Mail daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) hanya mendapat 749 undi manakala calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Riyah Basarah memperoleh 165 undi.
Menzahirkan penghargaan terhadap sokongan dan kepercayaan yang diberikan pengundi di DUN Bukit Sari, Awang Tengah berkata, beliau akan memastikan kesinambungan pembangunan di Bukit Sari akan diteruskan demi kesejahteraan penduduk.
"Terima kasih juga kepada pengundi di seluruh Sarawak yang telah memberikan kemenangan bergaya kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada PRN Sarawak yang lalu.
"Kemenangan ini sudah tentu menjadi pendorong untuk GPS meneruskan kesinambungan kepada semua projek pembangunan yang telah dan sedang dirancang untuk Bukit Sari dan di seluruh Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sumber dari : Jiwa Bakti